Makan nasi berulam AIR

Apakah Sebabnya?..

Protein adalah sumber makanan yang amat penting untuk sel-sel tubuh dan otak kita. Dari protein yang dihasilkan asid amino yang penting. Asid-asid amino ini pula dicantumkan dan dirangkaikan semula oleh sel-sel kita untuk menjadi bahan-bahan yang kimia yang dipanggil neurotransmitter enzim, hormon dan lain-lain untuk membolehkan otak, otot-otot dan organ-organ kite berfungsi dengan baik serta menjadi seimbang.

Sumber asid amino ini ialah makanan yang mengandungi protein yang lengkap iaitu daging lembu, daging ayam, daging arnab, ikan dan kekacang. Bukan semua bahan-bahan yang ada di dalam daging itu dapat kita gunakan sepenuhnya. Daging itu akan diproses oleh sistem penghadaman kita dan mengeluarkan bahan-bahan yang boleh digunakan lalu diserap masuk ke dalam saluran darah untuk dibawa kepada sel-sel. Bahan-bahan yang tidak dihadamkan dan yang tidak diserap akan diproses dan dikeluarkan melalui air kencing dan najis.

Asid Hidroklorik

Peringkat pertama proses penghadaman protein ialah di dalam perut. Apabila sampai sahaja ke dalam perut, sel-sel perut akan mengeluarkan sejenis asid yang diberi nama Asid Hidroklorik. Tugas asid hidroklorik adalah untuk menentukan sejenis kimia iaitu enzim yang dihasilkan oleh sel-sel perut kita yang bernama pepsinogen bertukar menjadi enzim pepsin.

Enzim pepsin inilah yang berkemampuan untuk menghadamkan protein. Sekiranya kita mengeluarkan cukup enzim pepsin, penghadaman protein akan berlaku dengan baik sekali. Jumlah enzim pepsin yang dikeluarkan bergantung antara satu sama lain kepada kekuatan asid hidroklorik tadi.

Sekiranya kita minum air diantara suapan, asid hidroklorik di dalam perut kita akan menjadi cair. Bila cair, jumlah dan kekuatan pepsin yang dihasilkan akan tidak mencukupi untuk menghadamkan protein dengan sepenuhnya. Apakah yang akan terjadi sekiranya daging yang kita makan tidak boleh dihadamkan sepenuhnya? Cuba bayangkan daging yang dibeli dibawa balik kerumah dan diletak di dalam mangkuk tanpa garam dan ditinggalkan di atas meja dapur. Mungkin 2-3 jam kemudian daging itu telah mula berbau dan pada malamnya daging itu pun menjadi busuk.

Sebabkan penyakit

Proses yang sama juga akan terjadi di dalam perut kita sekiranya daging yang kita makan tidak dihadamkan sepenuhnya. Bakteria dalam perut kita akan bertindak dan menjadikan daging itu busuk seperti daging pekasam. Proses pembusukan ini menambahkan jumlah ragi atau yis di dalam sistem penghadaman kita. Yis ini akan membiak dan mengeluarkan gas yang akan menyebabkan kita merasa sebu dan kembung. Yis ini juga akan mengeluarkan taring-taring yang akan menebuk lubang usus kecil kita dan menyebabkan bahan-bahan busuk dan bahan-bahan yang tidak berguna tadi akan diserap masuk kedalam saluran darah.

Yis yang diberi nama Candida Albicans, akan sama terserap masuk ke dalam saluran darah. Fenomena ini akan menyebabkan kita bukan sahaja kembung tetapi jika berlaku berulang kali akhirnya mengakibatkan penyakit-penyakit stress dan alahan seperti sering batuk, sering demam, lelah, ruam, ekzema, jerawat, sakit-sakit sendi. Jika ia berlarutan akan menyebabkan penyakit-penyakit seperti gastritis, ulser, tonsilitis, asma, arthiritis, gout atau kanser.

petikan dari majalah wanita bersama dato’ dr noor laily dato abu bakar

Tinggalkan jawapan